Cara Mohon MyKad Anak 12 Tahun

Setelah beberapa kali terpaksa ditangguhkan atas urusan yang tidak dapat dielakkan, akhirnya semalam selesai juga buat kad pengenalan anak sulong. 

Besar dah Ikhwan Hafeez, dah masuk umur 12 tahun jadi kena tukar MyKid kepada Kad Pengenalan (MyKad). Cepat betul masa berlalu. 

Kebetulan MyKad Diah pun rosak jadi sekali jalan la buat yang baru. Ada masalah dengan cip MyKad. Sedar cip tu ada masalah bila nak reload Touch N Go dekat LRT tapi tak boleh. 

Alhamdulillah urusan permohonan MyKad berjalan lancar walaupun kami tersilap faham tentang waktu operasi UTC. 


Jabatan-pendaftaran-Negara


Mohon MyKad Anak 12 Tahun 

Memang semalam agak terkejar-kejar sebab kami pergi pada waktu petang, selepas anak-anak balik sekolah. 

Kami sangka Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tutup pada pukul 4.00 petang, kelam kabut siapkan anak-anak dan sampai sekitar jam 3.30 petang. 

Kami ke mini UTC Keramat sebab situ paling dekat dengan rumah. Orang memang ramai tapi servis dia pantas jadi tidaklah menunggu lama. 


buat-MyKad-12-tahun



Cara Mohon MyKad Anak 12 tahun

Diah nak kongsikan cara nak mohon MyKad terutama untuk anak yang dah mencecah umur 12 tahun. 

Penting supaya korang tak buat perkara yang sia-sia dan dapat elak perkara yang tidak di ingini. Bagus kalau buat persiapan awal. 

Jadi antara perkara yang perlu korang tahu bila nak mohon MyKad ialah dokumen yang perlu dibawa dan pantang larang perlu di elakkan. 

Proses dia mudah je. Ambil nombor giliran dan tunggu dipanggil. Ada kaunter khas untuk proses permohonan. 

Waktu ini lah korang kena semak betul-betul segala info termasuklah alamat dan dia akan suruh korang tandatangan jika betul. 

Selesai di kaunter proses, seterusnya akan dipanggil untuk ambil gambar. 


Ambil-gambar-MyKad


Staff tu beritahu yang MyKad ambil masa untuk siap dan kena datang esok hari. Berlainan dengan situasi ganti MyKad disebabkan kad rosak, boleh siap dalam masa setengah jam sahaja. 

Diah wakilkan suami untuk ambil MyKad kami yang dah siap jadi kena beritahu staff tu untuk tujuan pengesahan dan suami kena tunjuk MyKad dia waktu ambil nanti. 

Diah juga dapat Kad Pengenalan sementara dan harus dipulangkan semasa ambil MyKad yang baru. Kalau korang jadi wakil dan nak mudah urusan, bawa je kesemua dokumen / resit yang dapat semasa buat MyKad tu. 


Dokumen-Pengenalan-sementara

Resit-MyKad



Dokumen Diperlukan Untuk Mohon MyKad

Nak mudah semak je segala informasi di website JPN. Diah baca dekat situ dan baca juga pengalaman dari blog orang lain. 

Penting untuk bawa Sijil Kelahiran Anak yang asal untuk tujuan pengesahan. Kalau menetap di luar negara sila bawa passport. 

Anak kena datang dengan ibu bapa, kena tunjuk MyKad ibu bapa. Kalau datang dengan penjaga (datuk, nenek, abang, kakak) harus berusia melebihi 21 tahun ke atas. 

Semalam ada kes seorang lelaki dia datang bersama anak perempuan. Kalau tengok sekali imbas, sebaya Ikhwan je. 

Agaknya nak buat MyKad juga. Muka dia jelas kelihatan marah ditambah suara agak keras tengah bercakap di telefon. 

Bercakap dengan isteri agaknya. Sempat dengar perbualan pendek, si ayah tak bawa sijil kelahiran anak. Terpaksa patah balik ambil sijil kelahiran atau datang hari lain. 

Bawa juga dokumen sokongan. Jika nak tukar dan guna alamat yang berbeza dengan MyKid, korang kena bawa bil elektrik atau bil telefon atau bil air yang ada alamat yang korang nak letak dalam MyKad. 

Macam Diah, nak tukar alamat MyKad Ikhwan kepada alamat rumah sekarang jadi kami datang bawa bil api. Jangan lupa bawa satu salinan untuk kegunaan JPN. 


Bayaran Lewat Mohon MyKad Kanak-Kanak 12 Tahun

Untuk mohon MyKad 12 tahun tiada sebarang bayaran dikenakan kecuali korang lambat mohon dari tarikh yang ditetapkan. 

Ingat tau jika tidak memohon dalam tempoh 30 hari dari tarikh usia genap 12 tahun akan dikenakan bayaran proses iaitu RM10. 


Perkara Lain Perlu Tahu Jika Mohon MyKad

Waktu nak ambil gambar ada etika pemakaian untuk semua tak kira agama mahupun bangsa. Kalau pakai pakaian tidak sesuai dari segi rekaan atau warna, nanti kakitangan tu suruh pakai blazer. 

Ada juga disediakan songkok untuk Muslim. Pilihan nak pakai atau tidak. Rambut pula kena warna hitam tak boleh warna selain hitam ya. 


kaunter-gambar


Mini UTC Keramat tutup pada pukul 6.30 petang hari bekerja dan pukul 4.30 petang pada hujung minggu. 

Rancang elok-elok kalau nak pergi. Parking bertingkat ada jadi tiada isu tak tahu nak park dekat mana. Kalau tak mahu memandu kereta boleh naik LRT berhenti di stesen LRT Dato Keramat. 

Mini UTC Keramat berada berhadapan dengan stesen LRT Dato Keramat. Boleh jalan kaki dan perlu lintas jalan je. 


Ulasan

  1. Masa buat IC khilfi last year walaupun alamat dalam MyKid adalah alamat di KL tapi dalam IC org JPN suruh ikut alamat di dalam Mykad penjaga. Tak pasal-pasal alamat dia tetiba jadi alamat Melaka

    BalasPadam

Catat Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.