Mini Zoo Rabbitland Jengka Pahang

Antara Mini / Petting Zoo yang berbaloi untuk dilawati semestinya Rabbitland Jengka yang terletak di Jengka 14, Pahang. Ini kali pertama kami jejakkan kaki.

Ternyata berbaloi bawa anak-anak datang ke sini. Katanya ada lebih 60 jenis spesis haiwan yang ada dan harga tiket pun tidak terlalu mahal. 

Disebabkan kekangan waktu, kami agak rushing nak habiskan tengok semua binatang dalam tu. mungkin kena datang lagi sekali di masa hadapan.

Rancangan awal nak tengok haiwan di mini zoo Rabbitland Jengka kemudian bawa anak mandi manda di Taman Tema Air - Jengka Wonderland.

 

Mini-Zoo-Rabbitland-Jengka-Pahang

Mini Zoo Rabbitland Jengka Pahang

Oleh sebab kasihankan anak-anak tiada aktiviti nak buat di waktu cuti sekolah dan rancangan nak check in hotel terbantut disebabkan cuaca tak menentu sekarang ni.

Jadi ambil kesempatan bawa anak-anak tengok binatang waktu balik kampung minggu lepas. Jarak rumah emak dengan Rabbitland Jengka ambil masa hampir dua jam ya.

Isi perut dulu makan dekat Go’Bang Maju Tol Patin Tempoyak di Temerloh

Walaupun berada dalam satu negeri, boleh tahan terasa jauh dia. Pahang ni luas weh. Perjalanan lancar je tiada tol.

Bila kembali ke Jengka terus teringat kenangan lama waktu belajar. Dulu Diah belajar di UiTM Pahang cawangan Jengka. Ambil Diploma in Banking dari 2003 hingga 2006.

Kemudian baru sambung UiTM Shah Alam ambil Degree Islamic Banking. Seronok sungguh bila kenangkan waktu belajar.

Memang berbeza la Bandar Jengka dulu dengan sekarang.


Petting zoo Rabbitland Jengka


Harga Tiket & Waktu Operasi Mini Zoo Rabbitland

Datang Rabbitland digalakkan pada waktu pagi baru la tak panas dan berpeluh. Masa kami sampai dah masuk waktu Zohor.

Matahari betul-betul atas kepala tapi dalam tu redup je. Macam Petting Zoo yang lain haiwan dekat sini jinak dan dilepaskan dalam kandang yang besar.

Jadi bebas dan selesa la binatang tu. Anak-anak pasti seronok sebab boleh pegang haiwan-haiwan yang ada.

Waktu operasi sepanjang cuti sekolah, Rabbitland Jengka dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 petang.

Harga tiket pula seperti berikut:

  • Dewasa: RM 10.00
  • Kanak kanak: RM 8.00
  • Oku/w.emas: RM 5.00

Dekat tiket ada peringatan ditulis, “pergerakkan haiwan sukar dikenalpasti, sila jaga anak anda. Keselamatan diri dan keluarga menjadi tanggungjawab anda.

Ha gitu. Pendek kata apa sahaja risiko awak tanggung sendiri ya.

Antara haiwan yang ada seperti unta, kuda, itik, angsa, kambing, rusa, burung, pelbagai jenis reptilia dan banyak lagi lah. 

Harimau, buaya, gajah semua tu tiada tau. Nak tengok Gajah, Harimau, Singa kena pergi Zoo Negara ya. Kalau nak tengok Dinasour kena pergi Zoo Melaka. 

Walaupun agak limit binatang dia tapi puas hati sebab ada banyak jenis. Contoh Angsa Malaysia dan Angsa Perancis. Kambing pun banyak jenis.

Kalau nak bezakan Petting Zoo di Selangor - Farm In The City masing-masing ada kelebihan dia. Rabbitland Jengka lebih menarik berbanding Port Dickson pula Petting Zoo -  Windmill PD Farm mengikut pandangan Diah.

Tempat dia elok terjaga dan bersih dari sampah sarap. Ada banyak kakitangan yang buat kerja bersihkan kandang.

Maaflah gambar tak banyak sangat sebab sibuk menikmati masa bersama anak-anak dan keluarga. 


Mini Zoo Rabbitland


Tarikan Mini Zoo Rabbitland

Selain binatang yang jadi tarikan, dekat sini korang boleh cuba naik jambatan gantung, karpet terbang, basikal gantung, buaian tergantung dan kerusi hayun.

Oleh sebab gayat dan sedar diri seberat anak gajah jadi kami malas nak cuba. Weh seram. Faktor usia agaknya.

Tidak la tinggi mana tapi perasaan takut tu melebihi segalanya. Kesian juga pada pekerja dia nak tarik kami yang berat ni.


Tarikan-Mini-Zoo-Rabbitland-Jengka-Pahang


Dekat sini banyak disediakan tempat untuk pengunjung ambil gambar. Boleh OOTD di Fairy Garden, replika rumah Felda (GALERI PENEROKA) yang menggamit memori, replika kapal layar, replika bulan sabit, buaian sarang burung tempua.


Rumah Felda Mini Zoo Rabbitland


Dekat dalam tu ada disediakan surau, tandas dan juga café. InshaAllah selesa. Overall pengalaman menyeronokkan bagi kami sekeluarga.


map Mini Zoo Rabbitland Jengka


Boleh rujuk Facebook Mini Zoo Rabbitland untuk dapatkan promosi terkini. 

 

Tentang Mini Zoo Rabbitland Jengka Pahang

Rabbitland merupakan sebuah zoo mini yang pertama di Jengka, Pahang yang menggunakan konsep pameran secara terbuka untuk keselesaan haiwan dan juga pengunjung dengan hiasan laman yang bersesuaian dengan persekitaran asalnya.

Rabbitland yang berkeluasan 50 hektar terletak 6 kilometer dari Bandar Pusat Jengka ini mempunyai lebih 60 jenis haiwan yang dipamerkan kepada pengunjung.

Mini zoo ini mula ditubuhkan di Mercu View Resort, Bandar Jengka sebelum ditukarkan ke lokasi baru yang lebih besar di Jengka 14 dan mula beroperasi pada 1 Mac 2020. Sumber - Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP)

Ulasan

  1. boleh lah masuk dlm list ni, kot tersesat cuti-cuti ke area Pahang...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau terlajak sampai Jengka boleh datang sini

      Padam

Catat Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.