Seperti yang dijangka, Melaka memang sesak dengan kenderaan dan semua tempat penuh dengan orang ramai.
Melaka ni kalau tak cuti sekolah atau cuti umum pun masih tetap dengan kesesakan lalu lintas dan jarang tempat tumpuan pelancong ni sunyi.
Bercuti di Melaka, 3 Hari 2 Malam Dengan Emak
Walaupun dah kerap sangat ke Melaka sebab balik rumah mentua, tetapi memandangkan permintaan adik nak bawa emak bercuti jadi kami turutkan.
Aku pegang konsep selagi ada nyawa, ada rezeki Allah aturkan InshaAllah kita cuba sampai dapat untuk tunaikan.
Mana tahu siapa mati dulu kan? Esok lusa bila dah tiada, kenangan manis sajalah akan jadi bekalan hingga hujung nyawa.
Itinerary Bercuti Di Melaka 3 Hari 2 Malam
Berbalik kepada cerita bercuti bersama emak, aku dapat simpulkan yang emak bahagia dan gembira sepanjang berada di Melaka. Terbukti apabila emak tak mengeluh bosan.
Seperti biasa aku ditugaskan untuk rancang itinerary Melaka 3 Hari 2 Malam. Tema percutian kali ni adalah santai bersama warga emas.
Ini semua idea adik bongsu. Dia yang bertanggungjawab bawa emak dari KL dan kemudian check in Hotel bersama anak buah.
Memang aktiviti dan tempat kami pilih sesuai untuk emak yang sudah memasuki usia warga emas. Nak pilih tempat menarik di Melaka pun kena fikir banyak kali sesuai dengan kesanggupan meredah kesesakan jalan raya.
Kami bertolak pagi Sabtu dan sampai menjelang waktu makan tengahari. Destinasi pertama kami tuju adalah Rumah Asam pedas Melaka.
Pilihan yang tepat sebab masih tak ramai orang waktu kami makan. Jadi dapatlah makan dengan aman dan tidaklah terkejar-kejar. Jalan di lebuh raya dah mula sesak waktu tu.
Suka makan di Rumah Asam pedas Melaka sebab makanan dekat sana dimasak on the spot dan rasa masakan kena dengan selera kami.
Boleh cuba juga asam pedas antara yang sedap di Melaka Restoran Berkat Salam
Mencari Dodol Cair Melaka
Selesai makan kami teruskan perjalanan mencari dodol cair. Tempat kami selalu singgah beli dodol dan barangan kraf Melaka adalah di Simpang Ampat.
Kalau perasan sepanjang jalan tak jauh dari Tol Simpang Empat banyak gerai tepi jalan dibuka yang menjual dodol serta makanan tradisi Melaka.
Selain dodol, Melaka juga terkenal dengan Kuih Bakar yang diangkat sebagai kuih tradisional rasmi Melaka.
Tempat kesukaan kami adalah gerai sebelum stesen Petronas. Tempat tu meriah dengan barang-barang, banyak pilihan termasuklah gerai menjual Mango Float, dodol, dan barangan kraf.
Paling penting rasa selamat sebab ada tempat untuk berhentikan kereta. Emak berjaya beli beg tangan anyaman, dodol, serta makanan tradisional Melaka.
Waktu kami berhenti membeli belah tu cuaca memang tersangat panas. Rasa seperti matahari hanya beberapa jengkal dari kepala.
Ikutkan rancangan asal kami nak ke Pantai Klebang untuk melihat keindahan laut, tetapi kami batalkan di saat akhir. Adik bawa emak terus ke hotel dan kemudian makan malam di kedai berhampiran.
Aku pula teruskan perjalanan balik ke rumah mentua. Syukur sangat semua berjalan lancar. Malam tu kami sekeluarga tidur di rumah mentua dan janji berjumpa semula keesokkan harinya.
Malam tu juga Airis meragam tak sedap badan. Suhu badan tiba-tiba naik. Tak mahu ambil risiko kami bawa dia ke klinik.
Doktor kata ada tonsil di tekak tapi tidak terlalu besar. Selesai rawatan dan berikan dia ubat, akhirnya dia tidur sehingga pagi.
Hari kedua kami teruskan jalan-jalan ke Masjid Selat, Masjid Terapung Melaka. Seperti ada tarikan semulajadi, sejak dari KL lagi aku asyik beritahu suami teringin nak datang sini.
Pertama kali jejakkan kaki ke Masjid Selat memang buat aku jatuh cinta dengan kawasan persekitaran masjid yang terjaga rapi.
Seperti mana-mana masjid di Malaysia, Masjid Selat menerima tetamu tak kira agama, bangsa mahupun jantina dengan syarat berpakaian sopan dan berkelakuan senonoh.
Cantik sungguh ciptaan Allah. Tenang sangat melihat keindahan alam semulajadi serta masjid terapung di atas air. Jangan lupa singgah Masjid Selat kalau datang Melaka.
Makan Tengahari Di Malim Ikan Bakar MITC Melaka
Plan asalnya nak makan dessert Cendol Kampung Hulu tapi ramai sangat orang. Jadi kami menuju restoran Malim Ikan Bakar MITC Melaka untuk makan tengahari.
Selalu makan dekat Malim Ikan Bakar sebab pilihan lauk kampung dia banyak dan walaupun ramai orang tapi meja kosong InshaAllah ada dan tak perlu tunggu lama.
Antara lauk yang menjadi hidangan kami hari tu gulai siput sedut, ikan pari bakar, gulai rebung, sotong masak rempah, udang goreng tepung, ayam goreng, ulam dan cendawan goreng.
Selepas makan perjalanan diteruskan balik ke rumah mentua. Emak teringin jumpa besan memandangkan dah sampai Melaka.
Begitulah kalau nak jaga hubungan silaturrahim. Tak manis emak kata dah sampai tak tunjuk muka. Kita layankan sajalah.
Petang tu sempat singgah minum petang di Restoran Mochee Dimsum. Sebaris dengan Mochee Dimsum ialah Kedai makan Asam Pedas Pak Man.
Terus rindu Green Town dimsum dekat Ipoh.
Kedai dia penuh dengan pelanggan. Sehingga hari ini aku belum pernah cuba lagi asam pedas dekat sini. Mana-mana kedai yang aku masuk dekat kaunter mesti ada pes Asam Pedas Pak Man.
Tak kira gerai buah, gerai jual barang kraf mahupun kedai makan.
Kalau ikutkan percutian kali ni memang sangat santai dan banyak kenangan tercipta waktu kami makan. Nak buat aktiviti lain risau terlalu lasak dan tak kena dengan kudrat emak.
Syukur semua mudah. Lepas penat berjalan kami ambil keputusan untuk check in hotel Riviera Suites Melaka dan rehatkan diri. Malam tu keluar mencari makan malam.
Sebelum ni kami pernah menginap di Hotel The Straits Hotel And Suites Melaka
Esok hari selepas selesai urusan check out terus ke pantai Klebang penuhi permintaan anak-anak. Teringin nak main pasir katanya.
Pantai Klebang seperti biasa panas sangat dan penuh dengan pengunjung yang nak naik kuda, main ATV, main layang-layang, dan berkelah.
Pantai bersih dan kemudahan terjaga. Pukul 2 petang baru kami gerak balik ke rumah. Lebuhraya memang seperti dijangka sesak dan sekitar 6.30 petang kami selamat sampai rumah.
Selamat bercuti dan beristeri rehat
BalasPadamMelaka best byk tmpt menarik tapi part jammed je, aduhaiii pikior byk kali nak bercuti ke sini.
BalasPadam