Curang Adalah Pilihan, Curang Juga Adalah Kesalahan

Dua minggu sudah aku sempat menonton sesi live Tuan Syed Azmi bersama seorang wanita di Facebook beliau. 

Isu yang dibincangkan ialah mengenai curang dalam perkahwinan. Curang adalah satu pilihan dan curang merupakan satu kesalahan.

Pemanggil merupakan seorang perempuan dan aku namakan Puan X (sekadar rujukan). Rasanya ramai yang mengenali Tuan Syed Azmi, seorang aktivis yang banyak melakukan kerja-kerja kebajikan dan kemasyarakatan.


Curang Dalam Perkahwinan Adalah Pilihan & Juga Adalah Kesalahan

Kebanyakkan kes kendalian beliau mendapat perhatian banyak pihak termasuklah isu kekeluargaan termasuklah memperjuangkan hak dan nasib kanak-kanak dan remaja, isu buang bayi dan remaja hamil serta pedofilia.

Tujuan aku berkongsi dengan pembaca blog ini adalah tidak lain dan tidak bukan iaitu bertujuan berkongsi ilmu dan semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada sesiapa yang membaca.

Banyak ilmu yang aku pelajari semasa menonton sesi perbincangan tersebut dan aku suka cara Tuan Syed menasihati Puan X. 

Sikit pun Syed Azmi tidak marah mahupun menyalahkan Puan X, malah memberikan fakta dan juga nasihat apa yang perlu dilakukan.


Curang adalah pilihan dan juga kesalahan



Isteri Curang Dengan Suami orang

Dalam kes ini, Puan X merupakan isteri dan ibu kepada empat orang cahaya mata. Usia perkahwinan dah mencecah 17 tahun. Melakukan perbuatan terlarang dengan suami orang dan melakukan perbuatan curang sudah hampir dua tahun.

Walaupun Puan X di uji sebegini tapi dia masih tampil mencari penyelesaian. Sebagai orang luar yang mendengar kisah rumah tangga yang diuji, aku ambil pendekatan untuk ingatkan diri supaya tidak menjadi hakim untuk menghukum kerana aku tidak berada di tempat mereka yang terlibat.

Puan X menghubungi Tuan Syed kerana ingin mendapatkan nasihat tentang apa yang boleh dia lakukan untuk menebus kesalahan.

Untuk kes Puan X, perbuatan dia terbongkar apabila suami dia dapat tahu. Suami berang dan mahu Puan X dan lelaki (skandal) itu bertanggungjawab.

Oleh sebab rasa geram, marah dan simpan dendam kerana dikhianati, suami ingin ceraikan Puan X dan mahu mereka berdua bertanggungjawab berkahwin.


Kes rumah tangga isteri curang


Suami Rasa Dikhianati Mahu Ambil Tindakan Undang-Undang


Dalam perbualan itu juga, Puan X meminta pandangan Tuan Syed mengenai niat suami dia yang mahu ambil tindakan undang-undang kerana mengganggu rumah tangga mereka.

Masalah timbul apabila skandal cuba melepaskan diri dalam erti kata lain putuskan hubungan dengan Puan X dan isteri skandal ada beritahu Puan X yang mungkin dia terkena sihir ilmu penunduk.

Puan X dan suami geram kerana lelaki tersebut terlepas begitu sahaja dan minta pendapat bagaimana mahu membawa kes ke muka pengadilan.

Aku tertarik dengan soalan yang diajukan oleh Tuan Syed kepada Puan X. Atas sebab apa suami nak ambil tindakan (bawa skandal ke muka pengadilan)?

Dalam perbualan tersebut, Tuan Syed ada menerangkan jika suami mahu menceraikan Puan X dan suruh berkahwin dengan skandal atas dasar geram, marah dan dendam maka perkara tersebut tidak akan berlaku.

Ini kerana selepas suami menceraikan Puan X, maka dia tiada hak untuk suruh atau paksa Puan X berkahwin dengan skandal.

Lebih menyedihkan Puan X kongsikan yang skandal tidak mahu menceraikan isteri dia dan ternyata hubungan mereka hanya sekadar suka-suka.

Puan X juga bertanyakan tentang JenayahOrang Ketiga kerana suami dia merasakan yang skandal telah mengganggu rumah tangga mereka. 


Akta Jenayah Orang ketiga


Menurut jawapan Tuan Syed, undang-undang itu tidak terpakai untuk kes Puan X kerana perbuatan curang dilakukan olehnya dengan rela hati, tiada wujud paksaan dan dalam keadaan sedar.

Wallahualam, itu apa aku dapat simpulkan dari perbualan tersebut. Ilmu baru untuk aku dan berjaya buka mata untuk aku gali lagi ilmu rumah tangga.

Berkaitan dakwaan terkena sihir penunduk atau ilmu guna-guna, Tuan Syed menerangkan jika ingin membawa kes ke mahkamah semestinya isteri skandal akan dipanggil untuk memberi keterangan. 

Jadi kena faham apa tindakan yang ingin diambil.

 

Nasihat Syed Azmi Terhadap Isteri Curang

Sebelum menasihati Puan X dengan lebih lanjut, Tuan Syed Azmi memuji tindakan Puan X yang sedar akan kesalahan yang dia lakukan dan ingin bertaubat. 

Dia terangkan juga, sepanjang dua tahun berlakunya curang merupakan pilihan dan jalan yang skandal dan Puan X ambil.

Jadi, dalam kes ini tidak timbul isu mempergunakan dan dipergunakan. Puan X juga bukanlah mangsa jauh sekali ditipu kerana setiap perbuatan dalam keadaan sedar. Dalam kes ini mangsa ialah suami & anak-anak Puan X serta isteri skandal.

Apa yang boleh dilakukan ialah bertaubat, kembali muhasabah diri, memohon kemaafan, duduk berbincang dengan suami dan tentukan hala tuju hubungan. Puan X kena bersedia dengan keputusan dan kehendak suami.

Jika suami setuju untuk memaafkan, Puan X harus bekerja keras untuk kembalikan kepercayaan suami dan anak-anak. Kena buktikan juga yang dia tidak akan berhubung dengan skandal.


Pengakuan isteri curang dengan suami


Kesimpulan

Sesungguhnya rumah tangga mana yang tidak dilanda badai. Isu curang dalam perkahwinan bukanlah perkara baru dan curang juga menandakan perkahwinan itu bermasalah. Baik suami atau isteri yang memilih untuk curang harus fikirkan juga kesan dan akibat atas pilihan yang dibuat.


Ulasan