Kehilangan ahli keluarga di waktu kes Covid tengah mencanak naik ni sangat menyedihkan. Terkilan sebab tak boleh melawat dan beri penghormatan terakhir kepada si mati.
Maghrib semalam dapat panggilan dari sepupu, Pakcik telah kembali ke Rahmatullah. Pakcik yang tinggal di Klang Selangor, adik emak.
Daripada empat beradik sekarang tinggal berdua sahaja. Perginya Pakcik agak mengejut. Sampai saat ni aku masih terkejut dengan berita kehilangan ni.
Pedih hati yang bagai di siat-siat.
Kematian Yang Mengejut Selamat Jalan Pakcik
Jumaat lepas kami sempat buat bacaan Yassin melalui Google Meet. Itulah kali terakhir aku tengok wajah Pakcik, itupun secara online sahaja.
Wajah arwah nampak susut. Dia mengadu tentang kesihatan dia yang agak teruk. Batuk yang agak teruk tetapi beransur pulih dan katanya badan terasa seram sejuk.
Berdasarkan perbualan dengan sepupu, Pakcik baru je bebas Covid tapi kesannya masih ada. Kami pun lambat diberitahu sebab tak mahu risaukan saudara mara.
Sebab tu aku takut sangat kalau orang berumur terkena Covid. Golongan berisiko tinggi dan tak terjangka.
Setiap tahun sebelum wujudnya Covid, pada Hari Raya Pakcik dan keluarga akan singgah beraya di rumah mak di kampung. Dah jadi kebiasaan bagi kami yang bekeluarga besar ni. memang meriah.
Dari semalam kami tak putus-putus buat video call dengan sepupu. Aku bersyukur masa mak terima berita mengejut ni abang dan kakak ipar ada di sisi mak.
Waktu buat video call, mak memang menangis semahunya. Sebagai anak aku rasa sedih tak dapat peluk dan berada di sisi emak.
Makcik adalah orang paling terkesan dengan pemergian Pakcik. Berkali-kali dia pengsan sebab terperanjat. Mujur anak-anak kuat untuk tenangkan dia.
Paling menyedihkan, salah seorang sepupu aku yang disahkan positif Covid sekarang berada di Maeps dan seorang lagi sepupu aku sedang bertugas di UAE sebagai jururawat.
Hanya panggilan video sahajalah yang menjadi penyambung sekarang. Masing-masing sedang hebat diuji tak dapat tatap wajah yang tersayang.
Disebabkan PKP banyak perkara yang biasanya kita dapat buat sekarang dah tak boleh. Urusan pengebumian tak boleh ramai-ramai.
Saudara mara yang di luar daerah, luar negeri belum tentu dapat perlepasan pihak polis untuk datang melawat. Ditambah lagi risiko Selangor merupakan antara Negeri penyumbang kes Covid jadi pihak polis memang agak tegas untuk benarkan rentas negeri.
Pesanan aku, tolonglah jaga diri dan kesihatan. Kalau ada ahli keluarga yang berisiko tinggi dijangkiti atau merupakan kontak rapat, tolonglah pantau dan rujuk ke hospital kalau keadaan kesihatan menurun.
Aku yakin ibu bapa berumur ni agak takut nak ke hospital tapi sebagai anak cubalah sebaik mungkin pujuk dan dapatkan rawatan di hospital.
Mohon untuk korang semua yang sedang membaca ni, minta sedekahkan AlFatihah.
Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang beriman.
"Ya Allah, Kau kasihanilah dia. Muliakanlah dia. Permudahkan urusannya di sana. Kau tempatkanlah dia di kalangan mereka-mereka yang Kau janjikan syurga dan mereka yang mendapat keredhaanMu."
Amin.
salam takziah sis. semoga sis serta keluarga tabah menghadapi ujian ini..
BalasPadamAllah, berat ujian. Al fatihah buat arwah.
BalasPadam