Review Filem - Komedi Seram Syif Malam Raya

Review Filem Komedi Seram Syif Malam Raya

Masa minggu pertama Syawal lepas, aku terjebak langgan cerita di Astro First. Masa tu rancak sungguh iklan tentang cerita Syif Malam Raya. 

Filem pertama untuk selebriti You Tube iaitu Yoe Pare, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly. Dalam cerita tu ada juga pelakon komedi kesukaan aku Ropie, Saiful Apek, Reen Rahim, kumpulan Zero (Atu, Sharif dan Syaiful), Azlee Senario, Danial Lawak Solo dan beberapa pelakon lain lagi. 

Masa tengok iklan tu ada la terselit sikit unsur-unsur lawak dan seperti yang dijangka tidak la aku ketawa terbahak-bahak.

Tapi tak apa, dengan niat nak sokong industri Filem Malaysia aku langgan juga walaupun cerita tu berharga RM15.90 termasuk 6% service tax agak mahal bagi aku

Dah ingatkan anak aku yang dua hari tayangan kena tengok sampai muak. Baru berbaloi. Lepas subscribe baru perasan cerita ini di arahkan oleh Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen. 

Waktu tu aku dah sedikit hampa, jarang sangat cerita Prof ni kena dengan minat aku, selalu tersasar je. Tapi syukur sangat tak timbul perasaan menyesal langgan sebab lawak-lawak yang ditonjolkan kira ok lah. Tiada carutan sepanjang aku menonton filem ni.





Oh dalam cerita ni ada Azlee dari kumpulan Senario, faham-faham sahajalah lawak zaman Senario kan modal melawak dia adalah dengan memek muka. 

Aku cukup tak berkenan kalau Azlee buat memek muka. Dalam cerita ni ada juga dia buat tapi tidak terlalu kerap. Saiful Apek pun sama, lawak dia pun sedang-sedang je kira okay la.

Kumpulan Zero dah biasa buat lawak dan memang aku suka jadi aku enjoy je. Juga tak mengecewakan selebriti Youtube mampu berlakon dan melontarkan dialog beserta emosi. 

Tak nampak canggung pun berlakon dengan pelakon senior. Good job.

Terpaksa Bertugas di Malam Raya

Movie ni bertema komedi seram yang berkisar tentang dua sahabat yang terpaksa bertugas di malam raya (Atu dan Sharif). 

Masa tengah berbuka pada hari terakhir puasa, mereka dapat panggilan dari bos (Saiful Apek) dan perlu menghantar jenazah ke Ipoh.

Dalam tak redha tu kena la buat juga. Masa malam Raya tu mereka tumpangkan jiran (Reen Rahim dan adik dia yang istimewa, Yoe Pare) yang tak dapat balik beraya ke Kedah sebab tiket Keretapi hilang. 

Jadi bertolak lah mereka berlima termasuk jenazah ke Ipoh. Rancangan awal lepas hantar jenazah kemudian terus hantar jiran ke Kedah.

Sepanjang perjalanan itulah mereka diuji dan ada adegan dan pengajaran yang cuba disampaikan oleh penulis skrip. Pendapat aku, lakonan dan dialog tidak la terlalu kaku dan dibuat-buat. 

Level keseraman tu tahap budak sekolah tadika je, tapi aku tetap terperanjat sebab aku tak suka cerita seram.



Jenazah Hilang Dalam Perjalanan

Untuk tambahkan konflik movie ni, ada adegan van jenazah terlanggar sesuatu dan jenazah tercampak keluar dari van dan hilang. 

Panik lah semua dan kebetulan kampung yang mereka berhenti itu sedang dilanda masalah hantu pocong.

Nak tak nak terpaksa minta bantuan penduduk kampung untuk tolong cari jenazah dan dalam masa yang sama kes hantu pocong juga berjaya dibongkar. Apa kaitan Hantu Pocong tu dengan jenazah yang hilang tu?


Pendapat aku tentang Filem Syif Malam Raya

Aku beri pendapat sebagai peminat filem komedi, dan aku sejenis mudah terhibur dan alergik dengan lawak membodohkan diri. 

Tak lupa juga akan rasa nak muntah kalau dengar lawak pick up line yang gatal tahap maksima. Filem ni filem komedi ringan dan sesuai untuk tontonan satu keluarga. 

Tidaklah membosankan jadi kalau suruh tengok lagi sekali aku ok je. Rare kan balik kampung naik van jenazah, aku terbayang kalau aku yang kena balik naik van jenazah tu confirm aku keras sepanjang perjalanan. 

Pengajaran yang cuba diselitkan ialah jangan hina orang yang berlainan keupayaan dari kita, kerja apa sekalipun paling penting adalah halal dan kasih sayang tak kenal siapa saja.  

Akhir kata jom sokong filem kita.

Ulasan