Sabtu lepas aku sempat menghadiri bengkel kesedaran cukai anjuran SushiVid Sdn Bhd hasil kolaborasi bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang bertempat di Menara Hasil Damansara.
Lebih 70 orang influencer menghadirkan diri mendengar taklimat berkaitan tanggungjawab dan juga hak-hak sivil influencer sebagai pembayar cukai.
Bengkel dirasmikan bersama oleh En. Hishamudin Mohamed, Pengarah Perkhidmatan Korporat, LHDNM dan juga Cik Foong Yuh Wen, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SushiVid.
Influencer Kena Bayar Cukai? Apa Perkara Perlu Tahu?
Tujuan utama bengkel
ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran tentang cukai di kalangan
influencer dan juga merupakan salah satu tanda bahawa ‘influencer marketing’
sudah mula mendapat perhatian dari badan kerajaan.
Moga lepas ni lebih banyak
kerjasama berlangsung dan bantuan sewajarnya diberikan kepada Influencer.
Aku tertarik dengan ucapan aluan
oleh En Hishamudin Mohamed semasa sesi penerangan kenapa orang awam perlu
membayar cukai? Dan apa yang berlaku pada duit yang dibayar?
Beliau menegaskan
bahawa pembayar cukai patut berbangga kerana mereka menjadi sebahagian
‘shareholder’ untuk pembangunan negara.
Jelasnya lagi, keselesaan,
keselamatan dan hasil pembangunan yang dinikmati orang awam selama ini adalah
hasil dari pungutan cukai bagi mereka yang layak dikenakan cukai.
Kalau tak
layak maka tak perlu lah bayar cukai. Jangan risau.
Influencer Dari Perspektif Cukai
Jom kenali siapa sebenarnya yang
bergelar Influencer. Menurut Persatuan Digital Malaysia (MDA), pemasaran
influencer kini menjadi salah satu saluran utama dalam pemasaran digital.
Kalau
kita perasan dari hari ke hari semakin ramai jenama yang memperuntukkan
sejumlah besar bajet untuk bekerjasama dengan Influencer dalam membantu
memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui saluran media sosial.
Kalau ikut pasaran marketing
Influencer di Malaysia, Mikro influencer adalah mereka yang mempunyai lebih 10,000
pengikut di laman sosial dan dianggarkan influencer memperoleh purata lima
kempen dalam sebulan.
Manakala Makro influencer dengan lebih 100,000 pengikut
dapat menjadikannya kerjaya sepenuh masa dengan membantu jenama dalam
mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di media sosial.
Menurut LHDN, cukai pendapatan
semasa menunjukkan bahawa individu yang berpendapatan lebih daripada RM34,000
setahun (kira-kira RM2,8333.33 sebulan) selepas potongan KWSP perlu mendaftar
fail cukai.
Oleh itu, jika seorang influencer memperoleh lebih daripada RM3,000
sebulan daripada produk atau perkhidmatan yang ditaja, ulasan berbayar atau
apa-apa bentuk perniagaan dalam talian melalui media sosial mungkin dikenakan
cukai pendapatan.
Pendapatan Perniagaan Individu Influencer Perlu Tahu
Dalam erti kata lain, Pemasaran
Influencer adalah sejenis model ekonomi seperti Grab dan Airbnb yang memberikan
perkhidmatan profesional mereka seperti penerbitan video kreatif, penulisan blog,
penyiaran media sosial dan banyak lagi.
Jadi, Influencer dikategorikan
sebagai individu yang memperoleh pendapatan perniagaan melalui perkhidmatan
mempromosi produk atau perkhidmatan melalui Instagram, Facebook, blog dan
lain-lain media sosial.
Pendapatan Perniagaan Individu
merujuk kepada keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan,
perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak
dikenakan cukai (termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar
dengan mana-mana pihak berkuasa – Ekonomi Bayangan) dan perniagaan terdiri
daripada Milikan Tunggal / Bekerja Sendiri mahupun Perkongsian.
Langkah-Langkah Pengisytiharan
& Pelepasan Cukai
Dalam bengkel tersebut juga, kami
diberi panduan langkah demi langkah pengisytiharan cukai dan proses pemfailan
yang telah disampaikan oleh En. Hishamudin Mohamed, dan rakan-rakannya.
Beliau
menjelaskan langkah-langkah untuk mengisytiharkan sumber pendapatan dan petua
untuk mengisi Borang Pungutan Cukai Pendapatan (ITRF), tarikh akhir penyerahan
borang, serta garis panduan untuk mengkaji dan mengira potongan cukai bulanan
untuk setiap individu.
Selain pengisytiharan cukai dan
potongan cukai, Influencer juga diberi pelepasan cukai sehingga sejumlah
tertentu berdasarkan jumlah pendapatan seperti tuntutan jarak perjalanan,
tuntutan peralatan, tuntutan kembara, tuntutan sewa untuk tujuan kerja dan
banyak lagi.
Harus diingat, korang kena simpan
segala dokumen, rekod, dan akaun selama 7 tahun bagi tujuan semakan / audit
LHDNM seperti invois, resit, bukti payment gateway, pengesahan melalui email
dan lain-lain. Kegagalan menyimpan rekod akan dikenakan penalti.
Cara- Cara Mengisi E-Filing
Kalau dah faham kepentingan dan
sebab perlu bayar cukai jadi korang boleh la laksanakan peranan korang sebagai
rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dengan mengisi E-Filing.
Untuk yang
pertama kali ingin daftar sebagai pembayar cukai, korang perlu mohon Nombor Pin
di cawangan LHDNM / UTC / Pusat khidmat Hasil yang berdekatan.
Nanti kakitangan LHDNM akan
terangkan langkah-langkah untuk ‘login’ kali pertama dan isi maklumat
diperlukan. Cuma ikut langkah-langkah yang aku kongsikan dekat bawah.
Mudah
sahaja.
Ingat, kena pilih borang yang betul. Isi maklumat dengan lengkap dan semak maklumat sebelum tandatangan dan hantar.
#1 Masukkan pengenalan diri.
#2 Isi Frasa Keselamatan dan masukkan kata laluan & klik teruskan
#3 Pilih e-Borang
#4 Pilih e-Borang mengikut sumber pendapatan; e-B (punca pendapatan perniagaan) & pilih tahun taksiran
#5 Isilah segala maklumat yang diperlukan
Kena buat nota dekat kalendar
masing-masing, tarikh akhir penghantaran borang nyata cukai pendapatan bagi
individu yang memperolehi pendapatan perniagaan adalah pada 30 Jun setiap
tahun.
Jangan lupa ya. Kegagalan mengisytiharan cukai boleh mengakibatkan
korang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.
Contoh-contoh Perbelanjaan
Perniagaan yang dibenarkan: Perbelanjaan yang dilakukan dalam menghasilkan
pendapatan perniagaan.
- Upah / Gaji
- KWSP / PERKESO pekerja
- Insuran Perniagaan (kecurian / kebakaran)
- Sewa premis perniagaan
- Faedah atas pinjaman
Contoh-contoh Perbelanjaan
Perniagaan yang TIDAK dibenarkan: Perbelanjaan domestic dan persendirian.
- Bil elektik dan bil air rumah kediaman, yuran pendidikan anak dan susutnilai
- Perbelanjaan beli aset peribadi seperti kereta, rumah dan perabot.
- Kalau korang nak penjelasan lebih lanjut tentang pengisytiharan dan perkara-perkara yang termasuk dalam pelepasan cukai, pihak LHDNM mengalu-alukan orang ramai untuk merujuk ke cawangan LHDN terdekat dan berjumpa dengan kakitangan terbabit.
Kesimpulan
Terima kasih kepada SushiVid Sdn
Bhd yang sudi menjemput aku menghadiri bengkel ilmiah seperti ini. Aku setuju
bengkel yang sebegini merupakan salah satu inisiatif yang baik dalam memberi
kesedaran kepada influencer supaya celik cukai dan tahu tanggungjawab serta
hak-hak asasi mereka.
Ayuh kita jadi rakyat yang bertanggungjawab. Kita tak
tahu kita tanya dan penuhkan ilmu di dada. Baru sedap nak sembang kan? Terima
kasih sebab sudi membaca dan jumpa lagi di lain entri dengan perkongsian untuk
topik yang lain pula.
Nak tahu lebih lanjut boleh layari laman web dibawah atau boleh hubungi Hasil Careline:
Hasil Careline: 03-8911 1000
semoga ramai influencer celik pasal cukai ni
BalasPadam