Influencer Kena Bayar Cukai? Apa Perkara Perlu Tahu?

Sabtu lepas aku sempat menghadiri bengkel kesedaran cukai anjuran SushiVid Sdn Bhd hasil kolaborasi bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang bertempat di Menara Hasil Damansara. 

Lebih 70 orang influencer menghadirkan diri mendengar taklimat berkaitan tanggungjawab dan juga hak-hak sivil influencer sebagai pembayar cukai.

Bengkel dirasmikan bersama oleh En. Hishamudin Mohamed, Pengarah Perkhidmatan Korporat, LHDNM dan juga Cik Foong Yuh Wen, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SushiVid. 


Influencer Kena Bayar Cukai? Apa Perkara Perlu Tahu?

Tujuan utama bengkel ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran tentang cukai di kalangan influencer dan juga merupakan salah satu tanda bahawa ‘influencer marketing’ sudah mula mendapat perhatian dari badan kerajaan. 

Moga lepas ni lebih banyak kerjasama berlangsung dan bantuan sewajarnya diberikan kepada Influencer.




Aku tertarik dengan ucapan aluan oleh En Hishamudin Mohamed semasa sesi penerangan kenapa orang awam perlu membayar cukai? Dan apa yang berlaku pada duit yang dibayar? 

Beliau menegaskan bahawa pembayar cukai patut berbangga kerana mereka menjadi sebahagian ‘shareholder’ untuk pembangunan negara.

Jelasnya lagi, keselesaan, keselamatan dan hasil pembangunan yang dinikmati orang awam selama ini adalah hasil dari pungutan cukai bagi mereka yang layak dikenakan cukai. 

Kalau tak layak maka tak perlu lah bayar cukai. Jangan risau.



Influencer Dari Perspektif Cukai

Jom kenali siapa sebenarnya yang bergelar Influencer. Menurut Persatuan Digital Malaysia (MDA), pemasaran influencer kini menjadi salah satu saluran utama dalam pemasaran digital. 

Kalau kita perasan dari hari ke hari semakin ramai jenama yang memperuntukkan sejumlah besar bajet untuk bekerjasama dengan Influencer dalam membantu memasarkan produk dan perkhidmatan mereka melalui saluran media sosial. 

Kalau ikut pasaran marketing Influencer di Malaysia, Mikro influencer adalah mereka yang mempunyai lebih 10,000 pengikut di laman sosial dan dianggarkan influencer memperoleh purata lima kempen dalam sebulan. 

Manakala Makro influencer dengan lebih 100,000 pengikut dapat menjadikannya kerjaya sepenuh masa dengan membantu jenama dalam mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di media sosial.

Menurut LHDN, cukai pendapatan semasa menunjukkan bahawa individu yang berpendapatan lebih daripada RM34,000 setahun (kira-kira RM2,8333.33 sebulan) selepas potongan KWSP perlu mendaftar fail cukai. 

Oleh itu, jika seorang influencer memperoleh lebih daripada RM3,000 sebulan daripada produk atau perkhidmatan yang ditaja, ulasan berbayar atau apa-apa bentuk perniagaan dalam talian melalui media sosial mungkin dikenakan cukai pendapatan.

Pendapatan Perniagaan Individu Influencer Perlu Tahu

Dalam erti kata lain, Pemasaran Influencer adalah sejenis model ekonomi seperti Grab dan Airbnb yang memberikan perkhidmatan profesional mereka seperti penerbitan video kreatif, penulisan blog, penyiaran media sosial dan banyak lagi.

Jadi, Influencer dikategorikan sebagai individu yang memperoleh pendapatan perniagaan melalui perkhidmatan mempromosi produk atau perkhidmatan melalui Instagram, Facebook, blog dan lain-lain media sosial.

Pendapatan Perniagaan Individu merujuk kepada keuntungan yang diperolehi daripada menjalankan perniagaan, perdagangan, pencarian atau profesion adalah merupakan pendapatan yang layak dikenakan cukai (termasuk sebarang bentuk perniagaan yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak berkuasa – Ekonomi Bayangan) dan perniagaan terdiri daripada Milikan Tunggal / Bekerja Sendiri mahupun Perkongsian.


Langkah-Langkah Pengisytiharan & Pelepasan Cukai

Dalam bengkel tersebut juga, kami diberi panduan langkah demi langkah pengisytiharan cukai dan proses pemfailan yang telah disampaikan oleh En. Hishamudin Mohamed, dan rakan-rakannya. 

Beliau menjelaskan langkah-langkah untuk mengisytiharkan sumber pendapatan dan petua untuk mengisi Borang Pungutan Cukai Pendapatan (ITRF), tarikh akhir penyerahan borang, serta garis panduan untuk mengkaji dan mengira potongan cukai bulanan untuk setiap individu.

Selain pengisytiharan cukai dan potongan cukai, Influencer juga diberi pelepasan cukai sehingga sejumlah tertentu berdasarkan jumlah pendapatan seperti tuntutan jarak perjalanan, tuntutan peralatan, tuntutan kembara, tuntutan sewa untuk tujuan kerja dan banyak lagi.

Harus diingat, korang kena simpan segala dokumen, rekod, dan akaun selama 7 tahun bagi tujuan semakan / audit LHDNM seperti invois, resit, bukti payment gateway, pengesahan melalui email dan lain-lain. Kegagalan menyimpan rekod akan dikenakan penalti.


Cara- Cara Mengisi E-Filing

Kalau dah faham kepentingan dan sebab perlu bayar cukai jadi korang boleh la laksanakan peranan korang sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dengan mengisi E-Filing. 

Untuk yang pertama kali ingin daftar sebagai pembayar cukai, korang perlu mohon Nombor Pin di cawangan LHDNM / UTC / Pusat khidmat Hasil yang berdekatan.




Nanti kakitangan LHDNM akan terangkan langkah-langkah untuk ‘login’ kali pertama dan isi maklumat diperlukan. Cuma ikut langkah-langkah yang aku kongsikan dekat bawah. 

Mudah sahaja.

Ingat, kena pilih borang yang betul. Isi maklumat dengan lengkap dan semak maklumat sebelum tandatangan dan hantar.

#1 Masukkan pengenalan diri.


#2 Isi Frasa Keselamatan dan masukkan kata laluan & klik teruskan 

#3 Pilih e-Borang

#4 Pilih e-Borang mengikut sumber pendapatan; e-B (punca pendapatan perniagaan) & pilih tahun taksiran



#5 Isilah segala maklumat yang diperlukan

Kena buat nota dekat kalendar masing-masing, tarikh akhir penghantaran borang nyata cukai pendapatan bagi individu yang memperolehi pendapatan perniagaan adalah pada 30 Jun setiap tahun. 

Jangan lupa ya. Kegagalan mengisytiharan cukai boleh mengakibatkan korang dikenakan sekatan perjalanan ke luar negara.

Contoh-contoh Perbelanjaan Perniagaan yang dibenarkan: Perbelanjaan yang dilakukan dalam menghasilkan pendapatan perniagaan.
  • Upah / Gaji
  • KWSP / PERKESO pekerja
  • Insuran Perniagaan (kecurian / kebakaran)
  • Sewa premis perniagaan
  • Faedah atas pinjaman

Contoh-contoh Perbelanjaan Perniagaan yang TIDAK dibenarkan: Perbelanjaan domestic dan persendirian.

  • Bil elektik dan bil air rumah kediaman, yuran pendidikan anak dan susutnilai
  • Perbelanjaan beli aset peribadi seperti kereta, rumah dan perabot.
  • Kalau korang nak penjelasan lebih lanjut tentang pengisytiharan dan perkara-perkara yang termasuk dalam pelepasan cukai, pihak LHDNM mengalu-alukan orang ramai untuk merujuk ke cawangan LHDN terdekat dan berjumpa dengan kakitangan terbabit.

Kesimpulan

Terima kasih kepada SushiVid Sdn Bhd yang sudi menjemput aku menghadiri bengkel ilmiah seperti ini. Aku setuju bengkel yang sebegini merupakan salah satu inisiatif yang baik dalam memberi kesedaran kepada influencer supaya celik cukai dan tahu tanggungjawab serta hak-hak asasi mereka. 

Ayuh kita jadi rakyat yang bertanggungjawab. Kita tak tahu kita tanya dan penuhkan ilmu di dada. Baru sedap nak sembang kan? Terima kasih sebab sudi membaca dan jumpa lagi di lain entri dengan perkongsian untuk topik yang lain pula.

Nak tahu lebih lanjut boleh layari laman web dibawah atau boleh hubungi Hasil Careline: 


Hasil Careline: 03-8911 1000

Ulasan

Catat Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.