Kematian Abam Bocey Yang Dicemburui
Walaupun dah hampir satu minggu
Abam Bocey meninggalkan kita yang masih hidup ni, tapi namanya masih lagi
disebut-sebut seolah-olah dia masih hidup. Bukan setakat ahli keluarga dan
kawan-kawan malah ahli ugama pun memberi ucapan dan doa yang baik-baik tentang
beliau. Wangi nama dia disebut penduduk dunia. Sungguh pemergian Abam Bocey
amat dicemburui dan memberi kesan kepada semua.
Malah yang tak pernah jumpa tapi
sekadar melihat dia buat persembahan di kaca tv sahaja sudah cukup menyentuh
perasaan dengan berita kematian arwah. Terkesan juga bila ada peminat cilik
arwah yang menangis bila dapat tahu tentang pemergian Abam yang secara
tiba-tiba. Sungguh mati itu pasti dan satu rahsia. Kita tahu kita akan mati
tapi bila masanya yang menjadi tanda tanya.
Seronok bila ramai yang bercerita
tentang peribadi Abam yang sangat baik dan merupakan anak yang soleh. Anak yang
sentiasa mengutamakan ibu dan juga adik beradik dia. Tiada satu pun cerita
buruk tentang arwah, sungguh Allah jaga aib arwah sehingga akhir usia malah
semakin wangi namanya disebut penduduk dunia bila dia pergi menghadap Tuhan.
Nama Sebenar: Syed Umar Mokhtar
bin Syed Mohd Redzuan (Mesra dikenali dengan nama Abam Bocey)
Tarikh Lahir: 19 Januari 1988 –
10 Februari 2020 (32 Tahun)
Nama Isteri: Nor Hidayah Mohd Ali
Nama Anak: Syed Uthman Hamzah
Al-Juffrey
Tiga Amalan Buat Bekalan Di Akhirat
Seperti yang kita maklum, sejak
dari sekolah lagi kita diajar bahawa tiga amalan yang tak akan terputus
pahalanya dan tolong kita di akhirat kelak adalah; sedekah jariah, doa dari
anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat. Amalan-amalan inilah yang bakal
menjadi bekalan untuk kita kelak.
Apa yang aku belajar dari kisah
pemergian arwah adalah kebesaran bersedekah. Salah satu amal yang arwah sering
lakukan ketika beliau masih hidup. Besarnya
pahala bersedekah akan berterusan selagi manfaatnya dapat digunakan oleh orang
lain. Bersedekah bukan terhad kepada harta sahaja kerana setiap kebaikan yang
dilakukan dengan ikhlas juga dianggap sedekah.
“Setiap perbuatan
baik adalah sedekah” – Imam Al-Bukhari
Lihat saja pada hari pengkebumian
arwah, sungguh ramai kenalan turun sama-sama menghantar dan mengucapkan salam
terakhir. Penuh masjid dengan Jemaah yang datang untuk solatkan beliau. Allah.
Sungguh manis balasan yang Tuhan kirimkan. Orang baik memang ramai yang akan
sayang.
Salute sangat sebab arwah
sentiasa mengutamakan orang lain daripada diri sendiri. Berapa banyak orang
yang sanggup berkorban untuk orang lain. Menurut ibu Abam, arwah tidak
mementingkan diri sendiri dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anak sulung
dengan baik. Dia memastikan adik-adik berjaya dan mendirikan rumah tangga dan
kemudian baru dia melangsungkan perkahwinan bersama pasangan; Nor Hidayah pada
tahun 2017. Arwah juga tidak kedekut dan suka menolong adik beradik dia.
Sikap arwah yang menghormati dan
memuliakan ibu, baik dengan isteri, suka bersedekah dan suka menghadiri majlis
ilmu memang wajar kita semua contohi. Arwah suka hadir ke majlis-majlis ilmu
semasa hayatnya. Ada rakan artis pernah beritahu yang arwah pernah tolak
undangan majlis yang tawarkan bayaran lebih tinggi semata-mata ingin turut
serta dalam majlis ilmu.
Hanya Demam Biasa
Menurut isteri arwah, Abam
mengadu sakit kepala dan demam beberapa hari lepas tetapi menyangkakan gejala
demam biasa. Bila diajak ke hospital, arwah tidak mahu. Tambah pilu apabila
isteri dia cuba kejutkan arwah pada pagi Isnin untuk solat Subuh dan arwah tak
sedarkan diri.
Dapat aku bayangkan betapa
hancurnya hati bila kita kejut orang tersayang dan tiada tindak balas
diberikan. Sedih dan takut semuanya bercampur baur. Sebab itu banyak kata-kata
madah selalu mengingatkan bahawa sentiasalah buat yang terbaik dalam apa jua
kita lakukan, kerana kita tidak tahu bila saat terakhir kita hidup di dunia.
Pengajaran untuk kita yang masih
hidup, jangan ambil mudah bila jatuh sakit. Demam adalah petanda ada yang tak
kena dengan kesihatan kita. Berjumpalah dengan doktor dan buat rawatan susulan.
Buat yang masih hidup, dan belum diuji kesihatannya jagalah amanah yang Tuhan
kurniakan. Sungguh, aku juga turut terkesan sebab aku antara orang yang
menzalimi diri dengan tidak menjaga pemakanan.
Pesanan Akhir Abam Kepada Kita Semua
Jika hari ini hari terakhir dalam
hidup saya, saya nak pesan “Kita susah kita diuji, Kita senang, lagilah kita
diuji sebenarnya. Tapi apa yang paling penting, sebelum kita nak tolong orang,
kita kena tolong family kita dahulu. Sebab majority gelandangan di luar sana,
sebab dia susah adalah adik beradik dia tak tolong. Jadi kita, ada rezeki lebih
kita tolong adik beradik kita supaya diaorang tak jadi begitu”.
Pesanan Abam ni sebenarnya dah
lama aku amalkan. Dulu, aku agak bengang bila adik macam salah guna pertolongan
yang aku hulurkan. Lama-lama aku sedapkan hati, apa sahaja pertolongan yang aku
sumbangkan semuanya adalah rezeki Tuhan kirimkan untuk adik beradik aku tapi
melalui aku sahaja. Lepas tu aku jadi lapang dada dan redha.
Kesimpulan
Aku suka apa yang arwah Abam
tinggalkan, ayat “kita baik ramai sayang”. Aku personally rasa itulah
sebaik-baik dakwah tanpa ada paksaan dan penuh kelembutan tapi terselit
ketegasan. Memang tak disangkal lagi kenyataan tu dan terbukti apa yang arwah
cakap adalah benar. Bila kita baik ramai sayang, dan sehingga kini masih belum
reda lagi puji-pujian tentang indahnya akhlak arwah. Buat baik pasti dibalas
dengan kebaikan. Hari-hari aku tanya semula diri sendiri, andai hari ini hari
terakhir aku hidup; sudah cukupkah bekalan yang aku kumpul untuk bertemu Tuhan?
al fatihah..
BalasPadam