Kematian Abam Bocey Yang Dicemburui


Kematian Abam Bocey Yang Dicemburui

Walaupun dah hampir satu minggu Abam Bocey meninggalkan kita yang masih hidup ni, tapi namanya masih lagi disebut-sebut seolah-olah dia masih hidup. Bukan setakat ahli keluarga dan kawan-kawan malah ahli ugama pun memberi ucapan dan doa yang baik-baik tentang beliau. Wangi nama dia disebut penduduk dunia. Sungguh pemergian Abam Bocey amat dicemburui dan memberi kesan kepada semua.

Malah yang tak pernah jumpa tapi sekadar melihat dia buat persembahan di kaca tv sahaja sudah cukup menyentuh perasaan dengan berita kematian arwah. Terkesan juga bila ada peminat cilik arwah yang menangis bila dapat tahu tentang pemergian Abam yang secara tiba-tiba. Sungguh mati itu pasti dan satu rahsia. Kita tahu kita akan mati tapi bila masanya yang menjadi tanda tanya.

Seronok bila ramai yang bercerita tentang peribadi Abam yang sangat baik dan merupakan anak yang soleh. Anak yang sentiasa mengutamakan ibu dan juga adik beradik dia. Tiada satu pun cerita buruk tentang arwah, sungguh Allah jaga aib arwah sehingga akhir usia malah semakin wangi namanya disebut penduduk dunia bila dia pergi menghadap Tuhan.


Nama Sebenar: Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Redzuan (Mesra dikenali dengan nama Abam Bocey)
Tarikh Lahir: 19 Januari 1988 – 10 Februari 2020 (32 Tahun)
Nama Isteri: Nor Hidayah Mohd Ali
Nama Anak: Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey

Tiga Amalan Buat Bekalan Di Akhirat


Seperti yang kita maklum, sejak dari sekolah lagi kita diajar bahawa tiga amalan yang tak akan terputus pahalanya dan tolong kita di akhirat kelak adalah; sedekah jariah, doa dari anak yang soleh dan ilmu yang bermanfaat. Amalan-amalan inilah yang bakal menjadi bekalan untuk kita kelak.

Apa yang aku belajar dari kisah pemergian arwah adalah kebesaran bersedekah. Salah satu amal yang arwah sering lakukan ketika beliau masih hidup.  Besarnya pahala bersedekah akan berterusan selagi manfaatnya dapat digunakan oleh orang lain. Bersedekah bukan terhad kepada harta sahaja kerana setiap kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas juga dianggap sedekah.

Setiap perbuatan baik adalah sedekah” – Imam Al-Bukhari

Lihat saja pada hari pengkebumian arwah, sungguh ramai kenalan turun sama-sama menghantar dan mengucapkan salam terakhir. Penuh masjid dengan Jemaah yang datang untuk solatkan beliau. Allah. Sungguh manis balasan yang Tuhan kirimkan. Orang baik memang ramai yang akan sayang.

Salute sangat sebab arwah sentiasa mengutamakan orang lain daripada diri sendiri. Berapa banyak orang yang sanggup berkorban untuk orang lain. Menurut ibu Abam, arwah tidak mementingkan diri sendiri dan melaksanakan tanggungjawab sebagai anak sulung dengan baik. Dia memastikan adik-adik berjaya dan mendirikan rumah tangga dan kemudian baru dia melangsungkan perkahwinan bersama pasangan; Nor Hidayah pada tahun 2017. Arwah juga tidak kedekut dan suka menolong adik beradik dia.



Sikap arwah yang menghormati dan memuliakan ibu, baik dengan isteri, suka bersedekah dan suka menghadiri majlis ilmu memang wajar kita semua contohi. Arwah suka hadir ke majlis-majlis ilmu semasa hayatnya. Ada rakan artis pernah beritahu yang arwah pernah tolak undangan majlis yang tawarkan bayaran lebih tinggi semata-mata ingin turut serta dalam majlis ilmu.



Hanya Demam Biasa

Menurut isteri arwah, Abam mengadu sakit kepala dan demam beberapa hari lepas tetapi menyangkakan gejala demam biasa. Bila diajak ke hospital, arwah tidak mahu. Tambah pilu apabila isteri dia cuba kejutkan arwah pada pagi Isnin untuk solat Subuh dan arwah tak sedarkan diri.

Dapat aku bayangkan betapa hancurnya hati bila kita kejut orang tersayang dan tiada tindak balas diberikan. Sedih dan takut semuanya bercampur baur. Sebab itu banyak kata-kata madah selalu mengingatkan bahawa sentiasalah buat yang terbaik dalam apa jua kita lakukan, kerana kita tidak tahu bila saat terakhir kita hidup di dunia.

Pengajaran untuk kita yang masih hidup, jangan ambil mudah bila jatuh sakit. Demam adalah petanda ada yang tak kena dengan kesihatan kita. Berjumpalah dengan doktor dan buat rawatan susulan. Buat yang masih hidup, dan belum diuji kesihatannya jagalah amanah yang Tuhan kurniakan. Sungguh, aku juga turut terkesan sebab aku antara orang yang menzalimi diri dengan tidak menjaga pemakanan.

Pesanan Akhir Abam Kepada Kita Semua

Jika hari ini hari terakhir dalam hidup saya, saya nak pesan “Kita susah kita diuji, Kita senang, lagilah kita diuji sebenarnya. Tapi apa yang paling penting, sebelum kita nak tolong orang, kita kena tolong family kita dahulu. Sebab majority gelandangan di luar sana, sebab dia susah adalah adik beradik dia tak tolong. Jadi kita, ada rezeki lebih kita tolong adik beradik kita supaya diaorang tak jadi begitu”.

Pesanan Abam ni sebenarnya dah lama aku amalkan. Dulu, aku agak bengang bila adik macam salah guna pertolongan yang aku hulurkan. Lama-lama aku sedapkan hati, apa sahaja pertolongan yang aku sumbangkan semuanya adalah rezeki Tuhan kirimkan untuk adik beradik aku tapi melalui aku sahaja. Lepas tu aku jadi lapang dada dan redha.

Kesimpulan

Aku suka apa yang arwah Abam tinggalkan, ayat “kita baik ramai sayang”. Aku personally rasa itulah sebaik-baik dakwah tanpa ada paksaan dan penuh kelembutan tapi terselit ketegasan. Memang tak disangkal lagi kenyataan tu dan terbukti apa yang arwah cakap adalah benar. Bila kita baik ramai sayang, dan sehingga kini masih belum reda lagi puji-pujian tentang indahnya akhlak arwah. Buat baik pasti dibalas dengan kebaikan. Hari-hari aku tanya semula diri sendiri, andai hari ini hari terakhir aku hidup; sudah cukupkah bekalan yang aku kumpul untuk bertemu Tuhan?

Ulasan

Catat Ulasan

Kata-kata yang lemah dan beradab dapat melembutkan hati dan manusia yang keras.

Terima kasih sudi comment.